Ninja BOGEL ganggu pelajar UiTM kampus Puncak Alam

Kuala Selangor : Puluhan pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam yang tinggal menyewa di Pangsapuri Astana Alam 3 dekat sini bukan sahaja hidup dalam ketakutan malah diselubungi seribu misteri apabila kawasan perumahan itu diganggu ‘ninja bogel’.
‘Ninja bogel’ yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar itu dikatakan akan muncul secara tiba-tiba di depan pelajar perempuan yang pulang lewat malam ke pangsapuri itu.
Dalam beberapa kes, ‘ninja bogel’ itu pernah mengetuk pintu rumah yang disewa pelajar-pelajar wanita terbabit pada lewat malam. ‘Ninja bogel’ itu dikatakan hanya berhenti mengetuk pintu sehingga penghuninya membuka pintu rumah.
Semasa kemunculan ‘ninja bogel’ yang digambarkan tanpa seurat benang kecuali bahagian muka dan kepala ditutup dengan baju-T berwarna hitam, ‘ninja bogel’ itu hanya berdiri kaku dan melihat gelagat mangsa-mangsanya yang menjerit ketakutan dan lari lintang-pukang.
‘Ninja bogel’ itu hanya meninggalkan lokasi selepas mangsanya lari akibat ketakutan.
Kejadian itu dikatakan sudah berlarutan sejak tahun 2012 sebelum dalam tempoh dua minggu lalu ‘ninja bogel’ itu semakin kerap menunjukkan diri kepada pelajar institusi pengajian tinggi itu (IPT).
Penuntut IPT terbabit mendakwa gangguan itu disyaki dilakukan oleh seorang lelaki yang tinggal di kawasan berkenaan. Ini kerana ketika kemunculannya, ‘ninja bogel’ itu seolah-olah mengetahui masa pengawal keselamatan atau ahli persatuan penduduk membuat rondaan. Kosmo ( Gambar Hiasan )

Post a Comment

 
Top